IPOH: Perak belum boleh mendabik dada biarpun menghuni tangga kedua saingan Liga A1 Semi Pro setakat ini.
Penolong Pengurus pasukan Perak, Zainal Anuar berkata, ini kerana perjuangan pasukan Kejor Yob Kejor belum berakhir.
“Perak menduduki kedudukan yang baik ketika ini tetapi kami belum menang apa-apa lagi.
“Pemain perlu terus gigih berusaha dan pastikan kemenangan dalam baki lima perlawanan,” katanya.
Kelmarin, Perak menang 5-1 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) pada perlawanan di Stadium Bola Sepak Perak di Chepor di sini.
Dengan kemenangan itu, Perak mengutip 23 mata untuk kekal di tangga kedua liga di belakang Selangor II.
Penolong pengurus Perak itu bersyukur dengan kesungguhan pemain tetapi menegur sikap tidak sabar mereka.
“Pemain kena belajar kawal perasaan bagi mengelak dilayangkan kad kuning, ” ujarnya.
AFL mengenakan denda RM1,000 bagi setiap kad untuk pasukan yang mengutip lima kad kuning dalam sesuatu perlawanan.
“Hari ini kita terlepas daripada didenda kerana hanya mengutip empat kad, ” katanya.
Bagaimanapun, ketika menentang Armed Forces (ATM) sebelum ini Perak didenda RM5,000 kerana mengutip lima kad kuning. – UTUSAN










