Pengundi muda diingatkan jauhi politik wang

Pengundi muda diingatkan jauhi politik wang

DAYANG Nor Syafiqah Abdul Hamid ketika beramah mesra dengan para peniaga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIPITANG: Pengundi muda perlu lebih berwaspada dan matang dalam membuat pilihan agar tidak terjerat dengan amalan politik wang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Dayang Nor Syafiqah Abdul Hamid berkata, masa depan negara tidak boleh terus ditentukan melalui budaya lapuk itu.

Katanya, keadaan itu memerlukan keberanian generasi muda untuk memilih calon berintegriti yang benar-benar komited membawa perubahan.

“Saya menyeru anak muda supaya hentikan budaya politik wang. Pilihlah calon yang berintegriti, bersungguh-sungguh memperjuangkan masa depan anda. Kalau kita mahu perubahan berlaku, ia mesti bermula daripada keputusan yang dibuat oleh anak muda sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Mengulas strategi menjelang hari pengundian, Dayang Nor Syafiqah berkata, fokus utama jentera PN kini tertumpu kepada pengundi muda dan atas pagar, selain memastikan jentera parti berada dalam keadaan bersedia pada hari mengundi.

Katanya, pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan berkualiti juga perlu diberikan perhatian agar anak muda Sindumin tidak lagi terpaksa berhijrah untuk mencari rezeki.

“Kita perlu pemimpin yang boleh bercakap terus kepada pembuat dasar. Banyak isu asas yang tertinggal di Sindumin. Itu yang akan saya bawa dengan tegas,” katanya.

Kerusi DUN Sindumin menyaksikan saingan 10 penjuru pada Pilihan PRN Sabah pada Sabtu ini.

Selain Dayang Nor Syafiqah, turut bertanding adalah Datuk Yamani Hafez Musa mewakili Pakatan Harapan (PH) dan lapan calon lain.

Selain itu, terdapat tiga calon Bebas yang turut berentap di kerusi Sindumin iaitu Wilson Liou, Ibrahim Tuah dan Abdillah Jalaf Abdillah AJ.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN