Pengundi muda belum pilih calon

Pengundi muda belum pilih calon

GELAGAT sebahagian pengundi awal beratur mengikut saluran ditetapkan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 di Pusat Pengundian Dun Tanjung Keramat, Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi, Putatan, semalam. – UTUSAN/Amir KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pengundi khususnya generasi muda masih belum membuat keputusan memilih calon menjelang tiga hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu ini.

Walaupun pelbagai siri kempen termasuk janji pilihan raya dan manifesto bermula, namun dalam kalangan pengundi ditemui masih ragu-ragu memilih calon dan parti ekoran persaingan sengit di samping pertembungan lebih lima hingga 14 penjuru.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pelbagai faktor menjadi pertimbangan pengundi dalam menentukan calon pilihan termasuk manifesto, rekod kerja calon serta isu pembangunan tempatan.

Pengundi muda, Aiman Saleh, 22, mengakui masih belum membuat keputusan mengenai calon yang dipilih.

Namun dia terlebih dahulu menekankan kepentingan calon yang memahami keperluan golongan muda, termasuk pendidikan dan peluang pekerjaan.

Seorang lagi pengundi muda Ramlan Sambas, 25, mengakui sukar membuat keputusan untuk mengundi kali ini kerana kawasannya menyaksikan pertembungan sehingga lapan penjuru.

Bagaimanapun kejujuran dan sikap calon menjadi kriteria utama dalam menentukan pilihannya.

“Kalau mereka pandai bercakap tapi tiada tindakan, saya masih menilai setiap calon dan mahu pastikan pilihan saya benar-benar tepat. Saya belum buat keputusan lagi,” katanya.

Sebaliknya bagi pengundi peringkat usia pertengahan usia, Dardin Madin, 48, yang memilih calon mampu buat kerja, bukan sekadar cakap kosong.

Katanya, parti tempatan mungkin menjadi pilihan meskipun dia masih belum menentukan siapa calon untuk diundi.

Bagi seorang lagi pengundi, Dayang Zaleha Mohammad, 57, berharap calon dipilih nanti dapat membawa kestabilan politik dan pembangunan ekonomi ke kawasan mereka.

“Saya mahu calon yang mampu membawa perubahan positif dan pembangunan nyata untuk kawasan kami. Tapi buat masa ini, saya masih belum pasti siapa yang akan saya undi,” katanya.

Bagi Mohd. Azlan Aranain, 33, beliau menekankan calon aktif dalam komuniti dan dekat dengan rakyat.

“Calon yang turun padang dan dengar masalah kita, itu yang penting,” katanya.

Beliau berkata calon yang akan dipilih adalah calon yang menekankan kepentingan aktiviti komuniti dan dekat dengan rakyat.

“Saya tahu penting untuk pilih calon yang turun padang, dengar masalah kita dan benar-benar ambil berat tentang kehendak rak­yat, tapi buat masa ini, saya masih belum pasti siapa yang akan saya undi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×