Penghantar barang mengaku pukul wartawan sukan

Penghantar barang mengaku pukul wartawan sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar barang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan wartawan sukan, Haresh Deol pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, Majistret Illi Marisqa Khalizan menetapkan 22 Januari ini untuk jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, R. Krishnan, 37, dengan seorang lagi individu yang masih bebas didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Haresh atau nama penuhnya Haresh Singh Chain Singh antara pukul 3.10 hingga 3.32 petang, 25 November 2025 di hadapan Bangunan Tanjung Balai Group, Jalan Telawi 3, Bangsar.

Pertuduhan terhadap bapa kepada enam anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Salihen Mastor.

Pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin, namun Mohamad Salihen memohon jumlah tersebut dikurangkan.

Mohamad Salihen berkata, anak guamnya hanya bekerja sendiri dengan gaji RM40 sehari dan perlu menanggung enam anak yang mana paling bongsu berusia setahun.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Haresh bukan sasaran sebenar suspek.

Siasatan mendapati, kejadian berpunca daripada dakwaan gangguan terhadap isteri suspek, namun salah sasaran. Suspek dikatakan hendak memukul individu yang mengganggu isterinya tetapi salah orang. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN