KUALA LUMPUR: Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Rimbunan Hijau Group, Tan Sri Datuk Tiong Hiew King meninggal dunia hari ini pada usia 91 tahun akibat masalah kesihatan, menurut laporan The Borneo Post.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 pagi.
Dilahirkan di Fujian, China, beliau menubuhkan Rimbunan Hijau Group pada 1975 dan berjaya mengembangkan empayarnya ke pelbagai sektor termasuk perkayuan, ladang kelapa sawit, perhotelan, runcit dan media.
Di bawah kepimpinannya, Rimbunan Hijau Group meluaskan operasi ke Malaysia, Papua New Guinea, China dan beberapa negara lain.
Tan Sri Tiong turut dikenali sebagai tokoh media melalui kawalannya ke atas beberapa surat khabar berbahasa Cina di Malaysia seperti Sin Chew Daily, Guang Ming Daily, Nanyang Siang Pau dan China Press.
Beliau menerima pelbagai pengiktirafan sepanjang hayatnya, termasuk darjah kebesaran daripada United Kingdom iaitu Knight Commander of the Order of the British Empire (KBE) yang disampaikan oleh Ratu Elizabeth II pada 2009, bagi menghargai sumbangannya kepada perniagaan dan kebajikan di Papua New Guinea.
Tan Sri Tiong meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki, empat anak perempuan serta beberapa cucu dan cicit.
Pemergian beliau dianggap sebagai kehilangan besar dalam bidang perniagaan, media dan pembangunan ekonomi negara, terutama di Sarawak. – UTUSAN









