KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki dipercayai menanam pokok ganja di kediaman sewanya di Bangsar di sini selepas belajar dari platform video dalam talian.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, serbuan kira-kira pukul 11.30 malam dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur di unit kondominium terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan turut menemukan dua pokok disyaki ganja dan tumbuhan kering disyaki jenis ganja seberat 27 gram dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,210.
“Pemeriksaan terhadap suspek berusia 48 tahun yang positif dadah itu didapati turut memiliki satu rekod lampau kes dadah.
“Polis turut menahan seorang wanita berusia 40 tahun disyaki teman wanita suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, turut dirampas dua telefon bimbit serta barang kemas iaitu tiga utas rantai, empat loket dan dua cincin.
Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek lelaki terbabit telah menyewa rumah itu hampir setahun dan tinggal bersama teman wanitanya.
Katanya, dipercayai suspek telah menanam pokok ganja itu sejak tujuh minggu lalu.
“Kedua-dua penganggur itu akan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” ujarnya.– UTUSAN










