KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, menegaskan seseorang pengacara tidak perlu melakonkan watak lain ketika mengendalikan sesuatu majlis sebaliknya perlu kekal menjadi diri sendiri di atas pentas.
Menurut Raja Azurayang mesra disapa Kak Engku, kenyataannya merupakan pesanan ikhlas yang diberikan buat individu yang ingin menceburi bidang pengacaraan.
“Jadilah diri sendiri. Saya selalu ingatkan pengacara hari ini, jangan cuba jadi orang lain. Selesakan menjadi diri sendiri ketika berada di atas pentas.
“Jangan pula cakap, ‘oh, saya terpaksa melakonkan watak ini bila berada atas pentas’. Tak perlu begitu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sebuah restoran, baru-baru ini.
Pemenang trofi Pengacara TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama dua tahun berturut-turut itu menegaskan, tugas utama seorang pengacara adalah mengendalikan acara, bukannya berlakon atau meniru gaya orang lain.
Keaslian merupakan kekuatan utama menonjolkan personaliti dan gaya tersendiri agar lebih dekat dengan penonton.
“Pengacara bukan pelakon. Awak adalah ‘master’ yang mengelola majlis. Pentas itu milik awak.
“Tidak perlu berpura-pura atau meniru sesiapa. Tak payah berlakon, sebab berlakon kena ikut skrip,” ujarnya. -UTUSAN










