Penduduk bimbang runtuhan tanah berulang

Penduduk bimbang runtuhan tanah berulang

PENDUDUK pangsapuri di Taman United, Seputeh di sini bimbang kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan itu hari ini akan berulang lagi. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penduduk pangsapuri di Taman United, Seputeh di sini bimbang kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan itu hari ini akan berulang lagi seterusnya menjejaskan kediaman masing-masing.

Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Ooi, 60, berkata, dia percaya sistem perparitan di pangsapuri berkenaan sudah lama bermasalah dan bangunan semakin uzur mungkin memburukkan lagi kesan kejadian itu.

“Kami mahu pihak berkenaan melakukan sesuatu supaya kejadian yang sama tidak berulang lagi ditambah lagi terdapat kawasan perumahan yang berada di bahagian atas berhampiran pangsapuri ini.

“Dibimbangi jika berlaku runtuhan lagi, pastinya akan menjejaskan rumah kami dan menggugat keselamatan penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seramai 104 penduduk di pangsapuri kos rendah di Taman United diarahkan berpindah selepas kejadian tanah runtuh berlaku susulan hujan berterusan sejak pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima laporan kejadian pada pukul 11.02 pagi melibatkan runtuhan cerun di Jalan Sepadu 6.

Kejadian terbabit tidak melibatkan kemalangan jiwa namun menjejaskan dua kereta dan beberapa motosikal dengan satu daripadanya tertimbus.

Sementara itu, seorang penduduk, Lim Yuet Ming, 74, berkata, dia hanya mengetahui kejadian tanah runtuh tersebut apabila dihubungi rakannya dan memaklumkan mengenai gegaran yang berlaku

“Saya sudah duduk lebih 30 tahun di sini dan kejadian seperti ini tidak berlaku sebelum ini. Ketika kejadian, saya berada dalam rumah seorang dir dan merasai sedikit gegaran,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian. 

Seorang lagi penduduk, Foo Le Choo, 70, berkata,  dia menyedari sesuatu berlaku apabila melihat polis dan bomba berhampiran rumahnya ketika pulang dari pasar.

“Saya baru pulang dari pasar kira-kira pukul 10 pagi dan melihat ada anggota polis dan bomba di kawasan sekitar pangsapuri, saya ingatkan ada orang sakit atau mati.

“Bagaimanapun,  apabila lihat kesan tanah runtuh, saya cemas dan terus memberitahu anak lelaki yang berada di dalam rumah. Kami kemudian diarahkan untuk berpindah kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×