Pemandu lori didenda RM8,000 pindah lembu tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Pemandu lori didenda RM8,000 pindah lembu tanpa kebenaran

MUHAMMAD Fauzan Razali (tengah) didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah memindahkan 18 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak di Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Seorang pemandu lori didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan 18 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak, Mei lalu.

Orang Kena Saman (OKS), Muhammad Fauzan Razali, 27, juga berdepan hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Muhammad Fauzan membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd. Yusuf.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fauzan didakwa telah memindahkan 18 ekor lembu hidup dengan menggunakan sebuah lori tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah DVS Perak atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa olehnya.

Lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kilometer 42, Jalan Kuala Kangsar-Ipoh dalam daerah Kuala Kangsar pada pukul 2 pagi, 3 Mei 2025.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan di bawah Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi negeri Perak 2008 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(7) Akta Binatang (pindaan) 2013 (Akta A1452) yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000.

Terdahulu, peguam bela, Muhammad Zaem Ab Aziz yang mewakili OKS memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda minimum kerana kesalahan yang dilakukan tidak serius serta tidak melibatkan sebarang kerosakan harta benda atau kecederaan.

Beliau juga memohon agar lori yang digunakan dalam kes itu dikembalikan kepada pemilik asal manakala wang hasil jualan lembu berjumlah RM43,200 pula diserahkan separuh kepada lelaki itu.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin berkata, hukuman sewajarnya perlu dikenakan terhadap OKS kerana kesalahannya bukan perkara remeh sebaliknya penting bagi mengawal penularan penyakit dan keselamatan industri ternakan serta ekonomi negara.

“Perbuatan OKS menyebabkan aktiviti kawalan penyakit tidak dapat dijalankan dengan berkesan.

“Pihak pendakwaan memohon hukuman denda maksimum selain barang-barang kes dirampas dan dilucut hak kepada kerajaan,” katanya.

Nazratul Natrah kemudian menetapkan hukuman denda RM8,000 kepada tertuduh dan memerintahkan keseluruhan hasil jualan lembu dilucut hak kepada kerajaan Malaysia manakala lori tersebut diserahkan kepada pemilik asal.

OKS membayar denda berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN