PETALING JAYA: Datuk Ewon Benedick menafikan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi adalah bertujuan untuk menarik perhatian seperti didakwa oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu juga menafikan bahawa beliau tidak menghadiri mesyuarat khas Kabinet bagi membincangkan mengenai isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Menurut beliau, dirinya sentiasa menegaskan isu tuntutan tersebut di dalam pelbagai mesyuarat khas Kabinet diadakan termasuk mesyuarat yang diadakan selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengeluarkan keputusan pada 17 Oktober lalu.
“Sepanjang mesyuarat-mesyuarat ini, saya bertegas dengan pendirian saya bahawa hak 40 peratus ini berbeza dengan peruntukan pembangunan di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan.
“Sepanjang tempoh tiga tahun ini, jawapan yang diberikan pada saya adalah sama dengan jawapan yang diberikan di Gaya Street tetapi sepanjang tiga tahun ini, apa suara Anthony? Apakah beliau sudah memberikan pandangan di Kabinet sepanjang tempoh ini.
“Apakah (Anthony) mempertahankan hak 40 peratus Sabah dan menuntut pelaksanaan segera kepada hak ini. Ini yang beliau boleh jelaskan tetapi saya tahu saudara punya suara sepanjang mesyuarat Kabinet,” katanya menerusi klip video berdurasi 7.49 minit di media sosialnya, hari ini.
Sebelum ini, Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP dilaporkan menyelar tindakan Ewon yang melepaskan jawatan Kabinet dan menyifatkan tindakan itu lebih kepada tujuan menarik perhatian berbanding tindakan berani kerana benar.
Mengulas lanjut, Ewon berkata, beliau memilih melepaskan jawatannya dan membawa UPKO keluar daripada Pakatan Harapan (PH) kerana mahu memberi mesej yang keras serta tegas pada kerajaan Persekutuan.
“Selama ini banyak ahli-ahli Parlimen Sabah bertegas dalam ucapan perbahasan mereka, mungkin ketegasan itu tidak cukup keras dan mesej tidak cukup tegas pada kamu.
“Sebab itu saya memilih untuk memberikan mesej tegas ini dengan meletakkan jawatan untuk mempertahankan hak 40 peratus Sabah dan pelaksanaan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Penampang itu turut menuntut Anthony Loke untuk memberi penjelasan mengenai notis rayuan yang difailkan kerajaan pada 13 November lalu di mahkamah rayuan.
Jelasnya, Ahli Parlimen Seremban itu perlu menjelaskan lapan perkara di dalam notis rayuan tersebut.
“Ini juga tugas seluruh Kabinet Persekutuan. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan menteri-menteri Kabinetnya bertanggungjawab untuk menjelaskan rayuan ini, alasan-alasan rayuan kepada rakyat Sabah.
“Biar rakyat Sabah memilih sama ada mereka menerima penjelasan kamu atau rakyat Sabah mahu pemimpin Sabah bertegas untuk melaksanakan hak mereka seperti mana yang diputuskan oleh mahkamah tinggi Kota Kinabalu,” tegasnya. – UTUSAN










