Pelancong Malaysia di Thailand selamat

Pelancong Malaysia di Thailand selamat

WICHAN CHAISETTHASAMPHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Kerajaan Thailand memberi jaminan keselamatan pelancong Malaysia yang berkunjung ke negara ini berada pada tahap terbaik dan tidak menjadi sasaran keganasan sepertimana berlaku di beberapa daerah sejak kebelakangan ini.

Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat (Keselamatan), Wichan Chaisetthasamphan berkata, keganasan yang berlaku seperti tembakan dan pengeboman hanya menyasarkan tiga pasukan keselamatan.

Katanya, pasukan keselamatan khususnya di Wilayah Narathiwat yang bersempadan dengan Malaysia sentiasa memantau kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan, terutama rakyat Malaysia.

“Pelaku keganasan ini tidak berniat menyasar atau mencederakan pelancong Malaysia. Sebaliknya anggota tentera, polis dan pasukan sukarelawan tempatan yang disasarkan. Antara 80 hingga 90 peratus sasaran adalah anggota pasukan keselamatan.

“Kami mempunyai pusat pemeriksaan dan kawalan. Pasukan keselamatan juga sentiasa melakukan rondaan di pusat pelancongan terutama di Sungai Golok.

“Seperti yang anda lihat, tidak ada pelancong atau rakyat Malaysia yang terbunuh dalam beberapa insiden sebelum ini. Ya, ada yang cedera dalam serangan bom di bandar Narathiwat, tetapi sasaran sebenar bukan pelancong,” katanya dalam pertemuan dengan media Malaysia di sini, semalam.

Wichan berkata, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan keselamatan mereka untuk melawat beberapa tempat menarik di Narathiwat.

Mengulas ramai rakyat Malaysia yang hanya melalui Narathiwat untuk menuju ke destinasi lain, khususnya Hat Yai, beliau berkata, kebanyakan pelancong berkenaan sebenarnya menetapkan niat mereka untuk ke kawasan pelancongan itu.

“Jika anda membandingkannya dengan 20 atau 30 tahun yang lalu dan ia bukan sesuatu yang baharu. Kami fikir bilangan insiden keganasan  menurun dengan ketara. Ia kini berada pada tahap yang boleh diurus,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN