PETALING JAYA: Tumpuan utama Pas ketika ini adalah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berbanding membincangkan isu kepemimpinan dalam Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tambahan pula, sebarang keputusan perubahan kepemimpinan dalam PN bergantung kepada keputusan Majlis Tertinggi yang akan menilai kedudukan komponen parti dan individu berlayakan untuk memimpin.
“Untuk mengambil alih kepimpinan bergantung kepada keputusan Majlis Tertinggi PN bagi menentukan komponen parti, siapa yang akan memimpin dan sebagainya.
“Fokus kami tertumpu kepada PRN Sabah dahulu, baru kita tentukan langkah seterusnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau mengulas desakan pelbagai pihak supaya Pas memainkan peranan lebih besar termasuk menerajui kepimpinan PN susulan kemelut yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sebelum ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli masing-masing digugurkan jawatan sebagai Pengerusi PN Pahang dan Perlis.
Jawatan pengerusi bagi kedua-dua negeri itu kini disandang oleh Tuan Ibrahim (PN Pahang), manakala Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN Perlis).
Menurut Tuan Ibrahim, pendirian Pas kekal untuk tidak mencampuri urusan dalaman parti lain sebaliknya menghormati kepimpinan setiap komponen dalam gabungan itu.
“Prinsip kami jelas, tidak mencampur tangan dalam krisis yang dihadapi parti-parti lain. Pas menghormati kepimpinan parti lain dan terus kekal dengan semangat perpaduan dalam PN,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, beliau tetap meneruskan legasi kepimpinan Saifuddin walaupun berlaku perubahan jawatan Pengerusi PN Pahang.
Katanya, pelantikan itu sebagai satu amanah besar dan tanggungjawab berat untuk memastikan gabungan pembangkang kekal berada di landasan terbaik, menjelang persiapan menghadapi pilihan raya akan datang. – UTUSAN










