KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM223.9 juta bagi melaksanakan sembilan projek pembangunan pertanian di kawasan Parlimen Batang Lupar, Kota Samarahan, Serian dan Igan, Sarawak pada 2026.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebanyak RM15.8 juta turut disalurkan bagi menaik taraf infrastruktur pengairan dan saliran pertanian di kawasan jelapang serta luar jelapang di negeri itu.
“Peruntukan ini merangkumi pembinaan tali air, rumah pam, parit saliran dan pintu kawalan air bagi memastikan bekalan air mencukupi serta membolehkan penanaman padi dijalankan dua kali setahun,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) mengenai peruntukan kepada kementerian bagi 2026 serta sama ada kementerian bercadang membawa pesawah luar untuk membantu pembangunan jelapang padi di Sarawak.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak, Jabatan Pertanian Sarawak serta agensi pelaksana seperti Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Samarahan dan IADA Batang Lupar.
Pada masa sama, katanya, tiada ketetapan dasar untuk membawa pesawah dari luar Sarawak bagi tujuan pembangunan jelapang padi di negeri berkenaan.-UTUSAN










