PARLIMEN: Perketat keselamatan maklumat ekoran dakwaan penjualan data ATM

PARLIMEN: Perketat keselamatan maklumat ekoran dakwaan penjualan data ATM

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memperketat kawalan keselamatan maklumat termasuk semakan semula tatacara pengendalian maklumat taktikal ekoran dakwaan penjualan maklumat taktikal Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, soal itu termasuklah pemantauan rapi terhadap penggunaan sistem komunikasi dan teknologi serta pengukuhan kerjasama perisikan dan ketenteraan dua hala serta serantau.

“Selain itu, kementerian melaksanakan sesi libat urus diplomatik dan ketenteraan dengan rakan sejawat ASEAN bagi menjelaskan kedudukan sebenar dan menegaskan integriti serta kebolehpercayaan ATM kekal tidak terjejas.

“Langkah-langkah ini penting untuk memulihkan keyakinan rakan serantau terhadap ATM dan memastikan komitmen Malaysia dalam menjaga keselamatan maklumat terus utuh,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd. Nor (PN–Ketereh) yang meminta penjelasan mengenai langkah-langkah kerajaan meyakinkan negara-negara ASEAN, khususnya Thailand dan Kemboja susulan laporan media mengenai dakwaan penjualan maklumat taktikal oleh baru-baru ini.

Mohamed Khaled berkata, tindakan tatatertib dan undang-undang yang sewajarnya diambil terhadap mana-mana individu yang terbukti terlibat dalam dakwaan penjualan maklumat taktikal ATM.

Katanya, perkara itu kini sedang ditangani secara menyeluruh melalui siasatan dalaman ATM dengan kerjasama rapat pihak berkuasa keselamatan lain.

“Kita menegaskan kes penahanan pegawai-pegawai ATM tersebut adalah bersifat terpencil dan tidak mencerminkan integriti dan kewibawaan keseluruhan organisasi ATM,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan yakin Thailand dan Kemboja terus mematuhi komitmen bersama seperti termaktub dalam Perjanjian Kuala Lumpur yang dimeterai pada 26 Oktober lalu.

Katanya, kemajuan di lapangan turut dilaporkan termasuk penarikan balik senjata berat seperti pelancar roket berganda (MLRS), meriam artileri dan kereta kebal, selain pembersihan periuk api serta pemulihan kawasan sempadan.

Mohamed Khaled berkata, Mindef memainkan peranan aktif sebagai penyelaras dan ketua Pasukan Pemerhati ASEAN bagi memastikan perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja terus dipatuhi.

“Komitmen Malaysia terhadap keamanan serantau turut ditegaskan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus yang diadakan pada 31 Oktober dan 1 November lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN