KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen memulakan prosiding berhubung dua isu utama yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025, melibatkan pengurusan kenderaan kerajaan di bawah perjanjian konsesi dan kutipan deposit wang jaminan jenayah melalui sistem e-Jamin.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding pertama diadakan pada 3 November lalu dengan memanggil Kementerian Kewangan, manakala prosiding kedua membabitkan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan diadakan pada 4 November.
Katanya, bagi isu perjanjian konsesi, PAC turut akan memanggil Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri yang memiliki jumlah kenderaan tertinggi di bawah perjanjian berkenaan, selain syarikat SPANCO Sdn. Bhd. selaku pihak pelaksana konsesi.
“Untuk isu sistem e-Jamin pula, PAC akan meneruskan prosiding dengan memanggil syarikat Dapat Vista (M) Sdn. Bhd. selaku kontraktor yang membangunkan sistem berkenaan serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP),” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Menurutnya, pemanggilan saksi-saksi terbabit bertujuan mendapatkan maklumat lengkap bagi menghasilkan laporan PAC yang komprehensif dan menyeluruh.
Sementara itu, PAC turut mengadakan sesi perjumpaan bersama Pengerusi-Pengerusi PAC Negeri, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) serta wakil-wakil DUN di Parlimen hari ini bagi memperkukuh jaringan kerjasama dan perkongsian pengalaman antara PAC Parlimen dan PAC Negeri.
Mas Ermieyati berkata, perjumpaan itu turut membincangkan cadangan untuk menganjurkan Persidangan PAC Kebangsaan bersama semua PAC negeri pada tahun 2026, dengan persetujuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.-UTUSAN










