KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedia mempertimbangkan pengambilan jururawat dari luar negara sekiranya terdapat permintaan rasmi bagi mengisi kekurangan tenaga kerja perubatan khususnya di hospital awam yang berdepan kekurangan ketara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM perlu meneliti beberapa syarat penting sebelum membuat keputusan termasuk aspek kemahiran klinikal, kecekapan, keselamatan serta kesesuaian budaya dan bahasa.
“KKM tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan kemasukan jururawat dari luar negara. Namun, kita perlu memastikan tahap keupayaan, kemahiran klinikal dan profesional mereka menepati standard perkhidmatan kesihatan negara.
“Aspek keselamatan, kecekapan serta kefahaman terhadap budaya dan bahasa tempatan juga perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH–Tebrau) mengenai kesediaan kerajaan mengambil jururawat dari luar negara khususnya Indonesia bagi menampung kekurangan tenaga kerja di hospital awam.
Menurut Dzulkefly, setakat ini tiada permohonan rasmi diterima daripada mana-mana negeri untuk membawa masuk jururawat asing ke Malaysia.
“Perkara ini sememangnya menjadi keprihatinan KKM memandangkan kekurangan jururawat masih berlaku di seluruh negara. Jumlah jururawat semasa sekitar 8,000 orang dan saya sedar keadaan ini tidak mudah untuk diperbaiki dalam tempoh singkat.
“Untuk melahirkan tenaga baharu dalam bidang kejururawatan memerlukan masa sekurang-kurangnya dua tahun bagi menamatkan pengajian diploma. Oleh itu, kita perlu mencari kaedah terbaik untuk menangani jurang ini secepat mungkin,” katanya.
Ogos lalu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon dilaporkan berkata, kerjasama dengan Indonesia dilihat sebagai antara alternatif bagi menangani isu kekurangan jururawat di negeri itu.
Bagaimanapun katanya, agensi serta kementerian berkaitan perlu menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas sebelum sebarang pengambilan tenaga kerja asing dalam sektor kesihatan dapat dilaksanakan. – UTUSAN








