KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM45 juta bagi membiayai kos operasi pelaksanaan program Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2.0 pada tahun hadapan.
Ia termasuk pemberian insentif kepada pekebun kecil persendirian (PKP) untuk menampung kos audit, latihan dan dokumentasi.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu amat penting memandangkan majoriti PKP berdepan kekangan kewangan untuk memenuhi keperluan piawaian MSPO 2.0 yang lebih komprehensif.
Katanya, melalui pendekatan itu, kerajaan bukan sahaja dapat memastikan pematuhan inklusif terhadap MSPO 2.0, tetapi juga memperkukuh daya saing industri sawit negara di pasaran global yang semakin menekankan aspek kebolehjejakan.
“Sasaran pensijilan MSPO di peringkat ladang dan pekebun kecil bagi 2026 ialah 80 peratus meliputi keseluruhan kawasan tanaman sawit yang berlesen.
“Penglibatan aktif pekebun kecil adalah penting memandangkan mereka merupakan sebahagian besar rantaian pengeluaran sawit negara.
“Tanpa penglibatan mereka, usaha untuk memastikan kebolehjejakan rantaian bekalan tidak dapat direalisasikan sepenuhnya sekali gus menjejaskan keupayaan negara memenuhi keperluan pasaran dan peraturan global,” katanya ketika sesi penggulungan Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, penyertaan pekebun kecil dalam pensijilan itu juga membolehkan amalan pertanian baik diperkukuh selain meningkatkan produktiviti serta kualiti hasil.
Pada masa sama, katanya, ia juga dapat mengurangkan risiko wujudnya aktiviti yang tidak mampan.
“Justeru itu, penyertaan menyeluruh termasuk daripada pekebun kecil adalah penting untuk memastikan industri sawit negara kekal berdaya saing dan mampan,” katanya.-UTUSAN










