KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 kes penipuan pengambilan pembantu rumah tidak berlesen direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh hampir tiga tahun sejak Januari 2023 hingga Oktober 2025, membabitkan kerugian keseluruhan RM260,972.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes dicatatkan pada 2023, manakala hanya empat kes direkodkan pada 2024.
Namun katanya, insiden penipuan berkenaan kembali meningkat ketara apabila 15 kes direkodkan setakat Oktober tahun ini, sekali gus menunjukkan trend kegiatan penipuan berkaitan pengambilan pembantu rumah warga asing yang semakin aktif.
“Kewujudan semula sindiket penipuan pengambilan pembantu rumah yang semakin aktif mengeksploitasi pengguna melalui platform digital dikesan menjadi punca utama peningkatan ketara kes ‘maid scammer’ pada tahun ini.
“Sindiket tersebut kembali aktif dengan modus operandi baharu termasuk penggunaan iklan palsu dan tawaran pengambilan pembantu rumah dalam talian sekali gus memerangkap majikan yang tidak menyedari tawaran tersebut datang daripada pihak tidak berlesen,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai jumlah kes penipuan pembantu rumah tidak berlesen termasuk secara dalam talian serta tindakan tegas kerajaan membanteras kegiatan tersebut.
Menurut Abdul Rahman, peningkatan kes pada 2025 jelas menunjukkan sindiket penipuan ini kembali agresif mengeksploitasi pengguna melalui pelbagai platform digital.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited membanteras penipuan berkaitan pengambilan pembantu rumah, melindungi mangsa, memastikan majikan tidak dieksploitasi serta menjamin hanya agensi berlesen, telus dan sah dibenarkan beroperasi di negara ini.
“Mengikut Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) yang dikuatkuasakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), hanya agensi pekerjaan swasta berlesen dibenarkan menjalankan aktiviti merekrut termasuk pengambilan dan penempatan pekerja merangkumi pembantu rumah asing.
“Mana-mana individu atau agen yang menjalankan aktiviti merekrut tanpa lesen melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7(2) Akta 246 dan jika disabitkan boleh didenda sehingga RM200,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 13 kes pendakwaan direkodkan JTKSM bagi tempoh 2023 hingga 2025 membabitkan pelbagai kesalahan, antaranya merekrut tanpa lesen, gagal mematuhi syarat lesen serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri ketika menjalankan aktiviti.
“Jumlah keseluruhan denda yang diputuskan mahkamah bagi kesalahan-kesalahan tersebut adalah sebanyak RM200,000,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan melalui KESUMA dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini melaksanakan pendekatan lebih tersusun meliputi penguatkuasaan, pemantauan agensi, perlindungan pengguna serta kempen kesedaran bagi membanteras sindiket yang semakin agresif ini.
“Pendekatan pelbagai dimensi ini penting bagi memastikan pencegahan dapat dibuat dari peringkat awal, manakala sindiket yang aktif dapat dikenal pasti dan ditumpaskan dengan lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN









