KUALA LUMPUR: Kira-kira 16,951 remaja berusia 19 tahun ke bawah direkodkan hamil luar nikah bagi tempoh 2020 hingga 2024.
Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha membendung isu berkenaan telah dilaksanakan melalui inisiatif melibatkan pemerkasaan pendidikan kesihatan reproduktif, kaunseling dan sokongan komuniti.
Katanya, inisiatif tersebut termasuk membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak berkaitan kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif sekali gus melahirkan masyarakat bertanggungjawab serta berdaya tahan.
“Di bawah pelan tindakan ini, pembangunan kemahiran berkaitan kesihatan reproduktif yang positif dan selamat ditekankan sama ada melalui pendidikan formal di sekolah dan tidak formal di luar sekolah.
“Tindakan bersepadu antara Kementerian berkaitan PEKERTI ini turut digembleng menerusi platform Majlis Sosial Negara.
“Antaranya, program PEKERTI dimasukkan sebagai program di peringkat institusi pengajian tinggi; meluaskan pelaksanaan program PEKERTI di peringkat komuniti dan memperluas aktiviti promosi serta advokasi mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Misbahul Munir Masuki (PN-Parit Buntar) berhubung jumlah remaja hamil tanpa nikah mengikut kaum dari 2020 hingga terkini serta langkah-langkah yang diambil bagi mencegah dan mengatasi isu tersebut.
Selain itu, Nancy berkata, khidmat sokongan untuk golongan remaja turut disediakan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melalui Pusat Remaja KafeTEEN dan Program Sahabat KafeTEEN di sekolah.
Katanya, akses perkhidmatan itu diperluaskan melalui 18 Pusat Remaja KafeTEEN, sebuah trak KafeTEEN serta program komuniti yang menyediakan klinik kesihatan reproduktif dan kaunseling psikososial.
“Perluasan program dan perkhidmatan Pusat Remaja KafeTEEN turut dilaksanakan melalui latihan peers educators yang berkemahiran dalam pendidikan kesihatan reproduktif di bawah Kelab KafeTEEN di 143 buah sekolah menengah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.
Menurut Nancy, kerajaan juga akan melancarkan Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara yang baharu bagi memperkasakan keluarga sebagai asas kestabilan sosial.
Katanya, fokus utama dasar itu adalah untuk meningkatkan keupayaan perancangan keluarga melalui pengukuhan peranan ibu bapa dan remaja.
“Usaha membendung isu kehamilan remaja luar nikah ini wajar digembleng bersama oleh semua pihak demi masa depan generasi muda kita yang lebih sejahtera,” katanya.










