KUALA LUMPUR: Polis memburu seorang lelaki yang giat melakukan kegiatan mencuri motosikal dan memalsukan nombor casis menggunakan mesin khas, dipercayai dibeli secara dalam talian dengan harga RM1,500.
Kegiatan suspek terbongkar selepas polis menumpaskan kumpulan samun bersenjata Geng Pipit yang aktif di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, penahanan empat lelaki tempatan dilakukan susulan kejadian samun di stesen minyak Petron Batu Tiga, Jalan Ipoh pada 21 Oktober lalu.
Menurutnya, kejadian berlaku sekitar pukul 6.19 pagi yang mana dua lelaki bersenjatakan parang bertindak menendang pintu masuk premis, sebelum melarikan wang tunai RM975 dari kaunter.
“Salah seorang suspek bertindak mengambil wang di kaunter, manakala seorang lagi mengawal di pintu masuk.
“Kedua-duanya melarikan diri menaiki Perodua Kancil yang nombor pendaftarannya tidak dikenal pasti bersama dua lagi rakan subahat yang menunggu dalam kereta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, hasil risikan membawa kepada penahanan pertama seorang lelaki berusia 29 tahun pada 23 Oktober lalu, bersama kereta Perodua Kancil yang digunakan semasa kejadian.
“Pada 24 Oktober, dua lagi suspek berumur 25 dan 32 tahun ditahan dalam serbuan di sekitar Selangor, manakala tangkapan keempat membabitkan lelaki berusia 40 tahun dibuat pada keesokan harinya.
“Kesemua suspek direman antara tiga hingga 10 hari bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah Ahmad Sukarno, soal siasat mendapati seorang daripada empat tangkapan tidak terbabit dalam kejadian kerana hanya penama asal dalam geran kereta yang digunakan dalam kes samun berkenaan.
“Seorang lagi suspek yang masih bebas dipercayai turut terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar ibu negara.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sebuah mesin penanda (marking machine) yang disyaki digunakan untuk menghasilkan nombor casis palsu pada motosikal curi,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, malah hasil saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan delta 9-tetrahidrokanibinol (THC).
Katanya, penahanan ke atas suspek membolehkan polis menyelesaikan tiga kes samun berkawan bersenjata dan empat kes curi motosikal di sekitar Kuala Lumpur. – UTUSAN










