P. Pinang: FCLB antara tarikan utama Festival Mega iLINDUNGu

Pulau Pinang: FCLB antara tarikan utama Festival Mega iLINDUNGu

STEVEN Sim Chee Keong (berdiri, kanan) beramah mesra dengan pengunjung di kaunter tawaran diskaun Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) ketika hadir pada Festival Mega iLINDUNGu di Evoke, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Potongan harga atau diskaun untuk Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) dilihat menjadi antara tarikan utama pengunjung untuk hadir ke Festival Mega iLINDUNGu edisi kedua yang berlangsung selama tiga hari di tapak Evoke di sini, bermula semalam.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, edisi pertama yang dilangsungkan kutipan tunggakan caruman yang direkodkan melebihi RM251,000 yang meliputi 466 majikan.

“Semasa penganjuran di Shah Alam, kita sebenarnya menerima 660 majikan yang layak diberikan tawaran diskaun itu iaitu sehingga 80 peratus.

“Jika mengikut perangkaan, jumlah keseluruhan FCLB bagi semua majikan ini adalah RM2.08 juta. Namun, selepas diberikan diskaun, bayaran yang perlu dijelaskan ialah sekitar RM416,000 sahaja.

“Setakat ini, kita sudah berjaya mengutip sebanyak RM251,393.50 daripada 466 majikan manakala selebihnya dalam proses pembayaran mengikut tempoh yang diperuntukkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Selain menawarkan khidmat semakan caruman, pengunjung Festival Mega iLINDUNGu juga boleh membuat pendaftaran skim LINDUNG, mengunjungi kaunter nasihat, menjalani sesi temu duga dan saringan kesihatan, menonton persembahan kebudayaan dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Steven berkata, objektif utama FCLB adalah memastikan caruman dijelaskan majikan tepat pada masanya seterusnya menjamin perlindungan keselamatan pekerja di bawah LINDUNG pekerja.

“Kebiasaannya, diskaun FCLB ini ditawarkan pada April setiap tahun dan kadang-kadang dilanjutkan sehingga Mei. Bagaimanapun, pelaksanaan khas semasa festival kali ini membuktikan komitmen Kementerian Sumber Manusia melalui Perkeso untuk memastikan tiada pekerja di Malaysia terpinggir dan tidak dilindungi,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Perkeso memaklumkan, setakat dua hari iaitu bermula semalam, seramai 12,568 pengunjung telah hadir memeriahkan karnival yang berlangsung di Pulau Pinang ini.

Katanya, seramai 70 majikan hadir untuk buat rayuan bayaran faedah caruman lewat bayar dengan jumlah FCLB yang direkodkan ialah sebanyak RM205,185 dan daripada amaun itu pula, jumlah pengurangan selepas diskaun sebanyak 80 peratus diberikan adalah berjumlah RM164,000.

“Sambutan cukup menggalakkan dan kita menyasarkan bilangan pengunjung tiga hari nanti sebanyak melebihi 30,000 orang,” katanya yang menjelaskan, seramai 27 majikan terlibat dengan karnival tersebut yang menawarkan lebih 2000 kekosongan jawatan.

Festival itu turut diserikan dengan kehadiran beberapa personaliti popular seperti Bell Ngasri, Duo Elite, Baby Nassuhada, Ashraf Muslim, Sharifah Shahirah dan sebagainya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN