P.Pinang: 20,060 calon duduki SPM, tiada sekolah menengah dijadikan PPS

P.Pinang: 20,060 calon duduki SPM, tiada sekolah menengah dijadikan PPS

MOHAMMAD Dziauddin Mat Saad (kiri) memberi kata-kata semangat kepada calon SPM sempena lawatannya pada hari pertama peperiksaan itu di SMK Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Seramai 20,060 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pulau Pinang hari ini dengan 18,135 daripadanya merupakan calon sekolah kerajaan, 423 calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan agensi kerajaan, 161 calon sekolah swasta, 1,148 calon persendirian serta 193 calon sekolah agama rakyat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, daripada jumlah itu juga, lima calon direkodkan menduduki peperiksaan tersebut di beberapa hospital kerajaan dan swasta berikutan kemalangan serta masalah kesihatan.

“Selain itu, sebanyak 156 pusat peperiksaan telah diaktifkan termasuk 140 pusat peperiksaan sekolah dan 16 pusat peperiksaan hospital, dengan penglibatan 1,973 petugas peperiksaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan sempena hari pertama peperiksaan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jawi di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, tiada sekolah menengah di Pulau Pinang yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir sekali gus memastikan kelancaran peperiksaan SPM di negeri ini.

““Buat masa ini, hanya terdapat tiga PPS yang menggunakan premis sekolah iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, SK Pengkalan Jaya dan SK Permatang Pasir.

“Ketiga-tiga PPS ini menempatkan mangsa banjir dan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) turut memahami keperluan tersebut. Jadi, kita menggunakan sekolah rendah untuk menguruskan mangsa supaya tiada gangguan terhadap pelaksanaan peperiksaan SPM di sekolah menengah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, JPNPP turut memantau keadaan semasa berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) selain bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan beberapa agensi lain untuk melihat kemungkinan berlaku bencana banjir yang boleh menjejaskan kawasan-kawasan tertentu.

“Setakat ini, hanya dua calon SPM yang ditempatkan di PPS di SK Lahar Yooi menduduki peperiksaan SPM di SMK Pokok Sena. Kedua-dua calon berkenaan dibantu oleh guru mereka bagi memudahkan urusan peperiksaan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN