KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Op Sohor membabitkan sindiket penyeludupan barang larangan seperti dadah dan rokok tiada kaitan dengan persaraan dua pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan berkenaan masih berjalan walaupun sudah ada pertuduhan dibuat sebelum ini.
“Kita juga tiada maklumat berkaitan persaraan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan persaraan Panglima ATM, Tan Sri Mohd. Nizam Jaafar dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd. Razali Alias tiada kaitan dengan siasatan Op Sohor.
Beliau mengulas laporan sebuah portal yang mengaitkan persaraan dua pimpinan atasan ATM itu dengan penahanan 10 individu termasuk pegawai tentera yang disyaki terbabit kes penyeludupan dadah Ogos lalu.
Mohamed Khaled turut mengesahkan kedua-dua mereka akan bersara pada umur 60 tahun mengikut tarikh persaraan wajib masing-masing seperti biasa tahun hadapan.
Mohd. Nizam dijadual mula bercuti 1 Januari 2026 sebelum bersara wajib pada Ogos manakala Mohd. Razali pada Disember 2026.
SPRM sebelum ini menahan beberapa pegawai tentera sekali gus melumpuhkan sindiket penyeludupan disyaki didalangi pegawai kanan yang beroperasi di selatan tanah air.
Selain pegawai ATM itu, dua wartawan dan seorang wanita warga asing ialah antara 10 individu direman SPRM hasil pelaksanaan Op Sohor. – UTUSAN









