MELAKA: Keprihatinan seorang lelaki warga emas terhadap jirannya yang merupakan pesakit kanser membawa kepada penyatuan mereka apabila dinikahkan di Masjid Cina, Krubong di sini, kelmarin.
Pernikahan pasangan itu, Leman Jantan, 62, dan Mahriah Abdul Majid, 59, disempurnakan Kadi Daerah Melaka Tengah, Muhammad Fauzi Ibrahim sambil disaksikan ahli keluarga, rakan serta komuniti sokongan pesakit kanser yang mengikuti perjalanan rawatan Mahriah sejak beberapa tahun lalu.
Mahriah yang berasal dari Kedah berkata, tidak menyangka akan kembali membina rumah tangga pada usia sebegini, memandangkan dia masih menjalani rawatan dan berdepan banyak kekangan hidup.
“Saya sangat bersyukur kerana ada insan yang sudi menerima keadaan saya walaupun saya sedang berjuang dengan penyakit.
“Kami hidup sederhana dan banyak kekurangan, tetapi Allah permudahkan urusan hari ini sehingga majlis berjalan lancar,” katanya.
Hubungan mereka kian erat apabila Leman sering membantu urusan rawatan, kebajikan dan tempat tinggal Mahriah sejak beberapa tahun lalu.
Bagi Leman, keputusan untuk berkahwin dibuat selepas ingin memastikan kebajikan Mahriah terjaga dan berasakan tanggungjawab itu semakin besar. – UTUSAN










