Nelayan tagih kerajaan negeri kaji pewartaan Taman Laut

Nelayan tagih kerajaan negeri kaji pewartaan Taman Laut

HASNUL Dolbakri (tengah, berbaju petak) bertanyakan soalan kepada Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Saufi Afandi Talib (depan, kiri) pada program HEBAT di Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Nelayan dari Melaka Selatan merayu lagi agar kerajaan negeri menilai semula pewartaan tiga pulau iaitu Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol diwartakan sebagai Taman Laut Negara kerana kawasan tangkapan mereka semakin mengecil.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wakil nelayan Hasnul Dolbakri berkata, walaupun sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh pernah berjanji untuk mengkaji semula perkara tersebut namun hingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil.

“Sejak pewartaan tersebut kami tidak ada tempat untuk menangkap ikan, tempat menjadi sempit. Ada bot nelayan sampai berlanggar sesama sendiri untuk menangkap ikan.

“Saya cuma ada bot kecil bagaimana hendak pergi menangkap ikan hingga ke perairan antabangsa. Kalau jadi nelayan darat, kalau jatuh dalam sungai kita oleh selamat tetapi kalau di laut dengan ombak kuat macam mana hendak selamatkan diri.

“Bila tiga pulau ini diwartakan hingga nelayan tidak boleh menangkap ikan sumber pendapatan kami semakin tertutup. Sumber ikanlah buat kami menyara anak dan isteri,” ujarnya ketika ditemui pada Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bersama Rakyat (HEBAT) Negeri Melaka Siri 2, Kompleks Seri Negeri, di sini semalam.

Dia bersama lebih 30 nelayan tiba sejak pukul 7 pagi dan terus ke kaunter Ketua Menteri bagi menyuarakan hasrat mereka mewakili lebih 400 nelayan dari Melaka Selatan.

Hasnul berkata, projek tambak pasir yang kini giat dijalankan di sepanjang Pantai Puteri dan Pengkalan Balak juga menyebabkan ruang untuk mereka menangkap ikan semakin tidak ada.

“Saya difahamkan kawasan pantai Melaka Tengah juga dalam perancangan untuk ditambak. Jadi, apa yang tinggal untuk kami mencari rezeki menyara keluarga?” soalnya.

Menurutnya, beberapa nelayan dari Bukit Punggur dan Alai pula sudah mula menangkap ikan di kawasan tempatnya di Umbai.

Katanya, kerajaaan negeri seolah-olah tidak ambil tahu keluh kesah nasib nelayan yang sebelum ini merayu agar pewartaan tiga pulau berkenaan ditarik balik.

Justeru katanya, hasil aduan yang dikemukakan pada program HEBAT itu, golongan nelayan akan berjumpa Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Melaka minggu depan.

“Saya harap pertemuan ini akan dapat mencapai kata sepakat dan memberi kelegaan kepada kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN