KUALA LUMPUR: Malaysia berisiko kehilangan hampir RM7 bilion hasil eksport sekiranya penanaman semula pokok sawit berusia lebih 25 tahun gagal dilaksanakan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, risiko itu dijangka berlaku sekiranya 520,000 hektar ladang sawit matang tidak diganti dengan tanaman baharu sekali gus menjejaskan pengeluaran dan daya saing industri sawit negara dalam jangka panjang.
Katanya, kekangan kewangan menjadi faktor utama pekebun kecil tidak mampu melaksanakan penanaman semula.
Oleh itu kerajaan perlu mempertimbangkan bantuan tambahan bagi meringankan beban kumpulan itu.
“Bagi skim penanaman semula pekebun kecil, peruntukan RM100 juta yang diberi kerajaan pada 2024 telah habis digunakan. Peruntukan RM50 juta untuk 2025 bagi keluasan 5,100 hektar juga telah habis.
“Semasa perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), saya memohon RM1.4 bilion bagi memastikan industri kelapa sawit terus mampan tetapi kerajaan tidak mempunyai kemampuan kewangan ketika ini.
“Kami hanya menerima RM100 juta, jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN–Maran) di Dewan Rakyat semalam.
Johari berkata, kadar penanaman semula pokok sawit pada tahun lalu hanya sekitar dua peratus, jauh lebih rendah daripada sasaran ideal empat hingga lima peratus setahun yang diperlukan untuk menjamin kelangsungan industri.
Katanya, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan pihak bank untuk melihat kemungkinan membantu pekebun kecil mendapatkan pinjaman dengan mencagarkan ladang mereka.
“Jika dilihat kepada sumbangannya, sawit adalah penyumbang terbesar sektor pertanian negara. Sebab itu usaha penanaman semula tidak boleh dihentikan,” katanya.
Mengulas berhubung bantuan kerajaan, beliau berkata, Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) yang menawarkan bantuan hibrid 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman telah diperuntukkan RM100 juta pada 2024 dan RM50 juta pada 2025.
Katanya, kos penanaman semula semakin meningkat dan kementerian bercadang meningkatkan kadar pembiayaan di bawah TSPKS 3.0 bermula 2026.
“Nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM14,000 kepada RM16,000 per hektar bagi Semenanjung, manakala di Sabah dan Sarawak dinaikkan daripada RM18,000 kepada RM20,000 per hektar,” katanya. – UTUSAN










