GEORGE TOWN : Sesi ‘townhall’ bersama penduduk yang terlibat bagi projek Lebuhraya Lingkaran Pantai Utara (NCPR) hanya akan diadakan selepas proses reka bentuk jajaran baharu siap sama ada menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, selepas sesi tersebut selesai, barulah proses permohonan untuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) baharu akan dimulakan.
“Kita pun mahu percepatkan proses mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Jadi, setelah reka bentuk dimuktamadkan, barulah sesi libat urus termasuk ‘townhall’ dapat dijalankan,” katanya kepada pemberita di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, kerajaan negeri sememangnya telah mengambil kira kepentingan rakyat secara menyeluruh termasuk dari aspek ekonomi dan akses perkhidmatan asas untuk komuniti di Batu Ferringhi dan Teluk Bahang ketika merancang projek tersebut.
“Kita tahu bahawa Batu Ferringhi ialah kawasan pantai terkenal yang menerima ribuan pengunjung setiap minggu dan ramai penduduk bergantung kepada pelancongan untuk mencari rezeki.
“Namun, ketika ini, kesesakan teruk di laluan sedia ada semakin meruncing kerana hanya satu jalan dua lorong tunggal digunakan sebagai pintu masuk utama ke kawasan tersebut,” katanya yang memberitahu, kerajaan negeri tidak pernah lari daripada tanggungjawab susulan cadangan untuk membangunkan projek NCPR itu.
Terdahulu, kira-kira 20 ahli Persatuan Penduduk Tanjung Bungah berkumpul di pekarangan Bangunan DUN tersebut bagi menyerahkan surat permohonan untuk bertemu Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi membincangkan pelbagai isu berhubung projek NCPR.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah, Zulfikar Abdul Aziz, mereka telah mengemukakan dua surat permohonan rasmi kepada Ketua Menteri pada 25 Julai dan 4 September lalu, namun, sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.
Katanya, ketiadaan respons itu menimbulkan kegusaran penduduk yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai jajaran baharu projek tersebut yang dilaporkan akan melalui kawasan bukit bukau di Batu Ferringhi dan Teluk Bahang.
“Kami bimbang risiko keselamatan sekiranya lebuh raya dibina melalui cerun curam kerana ia boleh mengancam harta benda dan nyawa terutama ketika musim hujan. Kami bukan antipembangunan, tapi, mahukan pembangunan yang baik (good development) tanpa membahayakan penduduk,” katanya.
Untuk rekod, kerja-kerja pembinaan bagi projek NCPR yang melibatkan laluan sepanjang 10.61 kilometer (km) membabitkan kos sekitar RM2.9 bilion itu dijangka bermula tahun depan dan siap sepenuhnya menjelang 2031.-UTUSAN










