Nasiruddin, 12 lagi ahli GISBH bebas hari ini

Nasiruddin, 12 lagi ahli GISBH bebas hari ini

TRAK membawa kakitangan (GISBH) tiba bagi pertuduhan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang di Kompleks Penjara Kajang hari ini.-UTUSAN/ SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali dan 12 lagi anggota pertubuhan itu dibebaskan hari ini.

Ia selepas mereka dikenakan hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah atas tuduhan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Selain Nasiruddin, turut dikenakan hukuman sama ialah anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib Ashaari; Hasnan Abd. Hamid, 54; Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd. Fazil Md. Jasin, 58; Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Bagaimanapun, kesemua individu yang berada dalam reman sejak tahun lalu, akan dibebaskan hari ini juga kerana tempoh pemenjaraan berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada sekitar September 2024.

Dalam prosiding yang berlangsung di Kompleks Penjara Kajang, Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar turut mengenakan denda RM4,500 atau tujuh bulan penjara terhadap sembilan tertuduh wanita yang juga ahli GISBH atas pertuduhan sama.

Mereka ialah isteri Nasiruddin, Datin Azura Md. Yusof, 58; Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.

“Mahkamah mengambil maklum pengakuan bersalah serta keinsafan (kesemua) tertuduh. Berdasarkan kiraan pentadbiran, tempoh tahanan yang dijalani sudah mencukupi dan mereka akan dibebaskan hari ini selepas urusan pentadbiran selesai.

“Mahkamah juga mengambil kira kesemua tertuduh wanita telah berada dalam tahanan reman selama enam bulan sebelum dibenarkan diikat jamin pada April lalu serta menunjukkan keinsafan dan rasa kesal atas perbuatan mereka,” kata hakim itu.

Menurut peguam yang mewakili semua tertuduh, Datuk Rosli Kamaruddin, walaupun Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan namun setelah mengambil kira tempoh cuti umum dan hujung minggu, anak guamnya bebas serta merta.

“Hari ini, kesemua 22 tertuduh-tertuduh bebas dan boleh pulang ke rumah masing-masing bermula hari ini selepas pihak pentadbiran penjara melengkapkan proses pelepasan dan pengembalian wang jaminan,” katanya.

Terdahulu, kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menjadi ahli kepada pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Pada 30 Oktober lalu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan mahkamah bahawa pihak mereka telah menerima representasi yang dikemukakan dan menawarkan pertuduhan pilihan.

Pertuduhan pilihan dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-dua sekali.

Sebelum ini kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Jalan Desa, Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN