GEORGE TOWN : Naratif sejarah yang berusia 1,000 tahun tidak boleh dijadikan asas untuk menyanggah kedudukan Pulau Pinang seperti yang telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, oleh itu, status Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat tidak boleh dipertikai meskipun terdapat dakwaan baharu yang mengaitkan perkara tersebut dengan sejarah pemerintahan lampau.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong menjelaskan, Perkara 1(2) dalam Perlembagaan Persekutuan telah mengiktiraf Pulau Pinang dan Kedah sebagai dua negeri berdaulat yang membentuk Persekutuan Malaysia bersama negeri-negeri lain.
“Oleh itu, isu komitmen tahunan zaman British juga tidak lagi relevan memandangkan Perkara 167(7) dan 169(a) Perlembagaan menjelaskan bahawa tanggungjawab tersebut telah berpindah kepada Kerajaan Persekutuan. Perkara ini telah lama selesai dan ia tidak wajar dijadikan modal politik berterusan,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pasukan guaman kini sedang menyempurnakan proses teknikal berkaitan tuntutan terhadap Pulau Pinang termasuk meneliti dokumen serta menentukan bentuk ‘relief’ atau tuntutan munasabah mengikut peruntukan undang-undang.
Muhammad Sanusi juga mendakwa, perjuangan Kedah untuk menuntut hak terhadap Pulau Pinang tidak akan dihentikan walaupun ia berlarutan sehingga mencecah usia ribuan tahun kerana ia membabitkan legasi nenek moyang serta amanah kepada generasi kini.
Dalam pada itu, Hon Wai menyifatkan kenyataan Muhammad Sanusi yang mengaitkan tuntutan berkenaan dengan sejarah 1,000 tahun sebagai ‘ditarik terlalu jauh’, lebih-lebih lagi apabila sejarah kuno di wilayah utara turut melibatkan pengaruh kerajaan Siam serta penemuan arkeologi di Lembah Bujang dan Bukit Choras.
“Dalam hal ini, biarlah para arkeologi yang meneruskan usaha menyingkap sejarah 1,000 tahun itu. Malaysia ditadbir mengikut Perlembagaan dan undang-undang dan bukannya berdasarkan naratif sejarah yang dipilih mengikut kesesuaian politik,” ujar beliau.
Tambahnya, pemimpin moden wajar mentadbir berdasarkan lunas Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri masing-masing selaras dengan prinsip Keluhuran Perlembagaan dalam Rukun Negara yang menuntut rakyat menerima, mematuhi serta mempertahankan Perlembagaan sebagai rujukan utama negara.-UTUSAN










