PETALING JAYA: Penyanyi kontroversi Wee Meng Chee yang dikehendaki menyerah diri kepada polis pagi semalam bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan pempengaruh wanita warga Taiwan berusia 31 tahun.
Dia yang lebih dikenali sebagai Namewee direman enam hari bagi membantu siasatan kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yu-hsin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, reman ke atas individu terbabit bermula pada 5 November sehingga 10 November ini.
Sementara itu, peguam mewakili Namewee, Joshua Tay H’ng Foong mengesahkan anak guamnya direman selama enam hari.
“Saya sahkan dia direman selama enam hari, lain-lain perkara saya tidak boleh ulas,” katanya ringkas.
Media melaporkan siasatan menyeluruh berhubung kematian pempengaruh wanita warga Taiwan itu dijalankan dari pelbagai sudut, termasuk kemungkinan menahan Namewee.
Ia berikutan penyanyi itu individu terakhir yang dikatakan berada bersama mangsa.
Pempengaruh itu ditemukan mati di dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay di sini, pada 22 Oktober lalu.
Terdahulu, Namewee berkata, dia tidak akan melarikan diri susulan terkait kes pembunuhan dan memberi kerjasama dalam siasatan tersebut.
“Saya kini berada di balai polis dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan, agar masyarakat dan keluarga mangsa mendapat penjelasan sewajarnya.
“Saya tidak akan melarikan diri. Saya telah hadir ke balai polis secara sukarela bagi semua tujuh waran tangkap yang lalu dan tidak pernah cuba melarikan diri,” katanya dalam hantaran media sosial. – UTUSAN










