KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini dijangka menumpukan perhatian terhadap perkembangan pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 serta pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meminta Perdana Menteri menjelaskan status terkini pelaksanaan NACS usaha meningkatkan tadbir urus dan memerangi rasuah secara tegas tanpa pilih kasih.
Sementara itu, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) turut mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri mengenai punca pengukuhan ringgit yang kini berada pada paras tertinggi hampir empat tahun serta kesannya kepada ekonomi dan rakyat.
Beliau juga meminta penjelasan Menteri Digital mengenai cadangan mewujudkan satu super aplikasi yang menyatukan aplikasi kerajaan seperti MyBorderPass dan MyJPJ di bawah MyDigital ID.
Pada sesi yang sama, Zakri Hassan (PH-Kangar) meminta Menteri Pendidikan menjelaskan langkah memperkukuh program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar selari dengan keperluan industri semasa, khususnya teknologi hijau dan digital.
Turut dibangkitkan, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang meminta Menteri Ekonomi menjelaskan strategi fiskal kerajaan dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial warga emas serta hala tuju penyusunan semula sistem persaraan.
Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) pula bertanyakan langkah konkrit kerajaan memastikan proses rasionalisasi subsidi petrol, elektrik dan barangan asas tidak membebankan isi rumah B40 dan M40 termasuk unjuran harga sebelum dan selepas pelaksanaan.
Dalam pada itu, Datuk Seri M. Saravanan (BN-Tapah) meminta Menteri Sumber Manusia menjelaskan mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan caruman Perkeso diwajibkan dan dipotong secara automatik untuk pekerja gig oleh penyedia platform.
Dewan juga dijangka akan dibentangkan dengan dua Rang Undang-Undang (RUU) untuk bacaan kali pertama iaitu RUU Kewangan 2025 dan RUU Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2025. – UTUSAN










