KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes menyalahgunakan kedudukan dan menerima wang daripada aktiviti haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bermula pada Mac tahun depan di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin menetapkan tarikh perbicaraan bermula 9 hingga 11 Mac; 13, 16, 28 dan 29 April; 25 hingga 26 Mei; 6 hingga 10 Julai; 13 hingga 17 Julai; 27 hingga 29 Julai; serta 17 hingga 21 dan 26 hingga 27 Ogos 2026.
“Perbicaraan akan berlangsung selama 29 hari dan mahkamah turut menetapkan sebutan kes pada 27 November ini,” katanya.
Mahkamah turut menetapkan 18 November ini bagi mendengar permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara sementara.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihak pendakwaan akan mengemukakan tidak lebih 30 saksi bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Sementara itu, peguam Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin memohon supaya pihak pendakwaan menyerahkan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan sebelum tarikh perbicaraan bermula.
Pada prosiding hari ini, Muhyiddin tidak hadir ke mahkamah kerana kehadirannya dikecualikan.
Pada 22 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak representasi yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menggugurkan tujuh pertuduhan terhadapnya membabitkan kesalahan salah guna kuasa dan penerimaan wang hasil aktiviti haram.
Muhyiddin, 78, sebagai didakwa sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat sekutu parti itu.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik parti.
Pada prosiding 7 Oktober lalu, mahkamah dimaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Muhyiddin untuk mengugurkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan wang RM200 juta.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan dan memohon kesemua tujuh pertuduhan didengar secara bersama.
Hakim K. Muniandy (kini hakim Mahkamah Rayuan menetapkan hari ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan.-UTUSAN










