Satu majlis menandatangani dan menyerahkan memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) diadakan UiTM Shah Alam baru-baru ini.
Majlis tersebut menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM dan Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI), UMK dalam pelaksanaan
Perkongsian Sumber Perpustakaan yang melibatkan pelbagai inisiatif pembangunan ilmu dan akses maklumat akademik bersama.
MoU ini ditandatangani Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin, manakala UMK diwakili oleh Naib Canselornya, Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah, disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK Prof. Dr. Huzili Hussin serta Ketua Pustakawan UiTM, Azizi Jantan.
Turut hadir ialah barisan delegasi daripada UMK serta pengarah-pengarah bahagian dan warga Jabatan Perpustakaan UiTM.
Menurut Azizi kerjasama tersebut merupakan langkah signifikan dalam memperkukuh jaringan ilmu antara dua universiti awam.
“Perkongsian ini membuka ruang akses sumber maklumat bercetak dan digital,”ujarnya.
Melalui MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan perkongsian sumber yang meliputi beberapa komponen utama seperti:
Peminjaman dan pemulangan bahan bercetak berstatus rak terbuka (Open Shelf);
Akses bersama kepada sumber digital, pangkalan data akademik dan bahan elektronik yang dibenarkan;
Penggunaan kemudahan fizikal dan ruang pembelajaran di kedua-dua institusi;
Pertukaran kepakaran pustakawan, latihan profesional, bengkel, serta program pembangunan ilmu bersama. – UTUSAN










