DI BAWAH kepimpinan Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung kini melalui fasa pembangunan yang lebih tersusun dan inklusif dengan tumpuan utama kepada kesejahteraan rakyat.
Sejak diberikan mandat pada 2023, beliau tampil dengan gagasan hala tuju yang jelas melalui visi, misi dan Agenda MANTAP yang dirangka bagi memastikan masyarakat menikmati perubahan menyeluruh.

Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang serta Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata, kejayaan sesebuah kawasan bermula daripada dasar yang berpaksikan pembangunan insan.
Justeru katanya, perancangan yang dibawa untuk DUN Batu Maung bukan hanya berfokus kepada pembangunan fizikal, tetapi turut menekankan kestabilan sosial, ekonomi dan kesejahteraan komuniti.
“Visi yang digariskan untuk DUN Batu Maung adalah ke arah Batu Maung yang makmur, mampan dan sejahtera dan ia satu aspirasi yang menyeimbangkan kemajuan dan keharmonian masyarakat.
“Misinya pula menetapkan keutamaan kepada pembangunan Batu Maung menerusi pembangunan keluarga, anak muda, nelayan, rekreasi, akademik dan ekonomi sebagai asas pembentukan komuniti progresif.
“Oleh itu, segala perancangan ini diterjemahkan melalui Agenda MANTAP merangkumi muhibbah, anak muda, nelayan, taman, akademik dan progresif,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Biodata
Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid
Usia : 51
Jawatan :
ADUN Batu Maung
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan & Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat
Antara pengalaman kerjaya :
Profesor Adjung UKM Graduate School Of Business (2025)
Rektor / Ketua Eksekutif, Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB)
Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kedah (2017–2019)
Penglibatan Politik : Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (2025)
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang (2025) Ketua Cabang Tasek Gelugor (2025)
Mohamad yang juga bekas Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) berkata, agenda tersebut bukan sekadar slogan politik, sebaliknya sebuah kerangka tindakan menyeluruh yang dirancang untuk memberi manfaat terus kepada penduduk.
Anak jati Kepala Batas, Pulau Pinang itu berkata, beliau komited untuk memastikan kesemua inisiatif itu selari dengan aspirasi Visi Penang 2030 iaitu menuju negeri pintar, hijau dan berteraskan keluarga menjelang 2030.
Katanya, seiring perkembangan pesat kawasan perindustrian di Batu Maung, beliau mengambil langkah menilai secara menyeluruh cabaran dan keperluan semasa penduduk.
“Antara isu paling ketara yang dikenal pasti adalah masalah infrastruktur termasuk jalan sempit, kerosakan akibat kenderaan berat serta kekurangan parkir di kawasan perumahan berkepadatan tinggi.
“Selain itu, masalah banjir kilat turut dialami beberapa kawasan seperti Permatang Damar Laut, Kampung Naran, Batu Maung dan Sungai Ara akibat sistem saliran yang tidak terurus dan longkang tersumbat,” katanya.
Tambah beliau, kenaikan kos sara hidup juga memberikan tekanan kepada penduduk berpendapatan rendah terutamanya di kawasan perkampungan tradisi yang memerlukan sokongan berterusan daripada agensi kerajaan.
“Golongan rentan seperti ibu tunggal, warga emas, OKU (orang kurang upaya) serta anak muda turut berdepan cabaran daripada sudut peluang pekerjaan dan kemahiran,” katanya yang memberitahu, pada masa sama, kepesatan sektor industri turut membawa kepada masalah kesesakan trafik yang semakin meruncing terutama pada waktu puncak.
Bagi menangani cabaran itu pula, jelas Mohamad, pejabat Pusat Khidmat ADUN Batu Maung telah mengambil pendekatan bersepadu melalui kerjasama erat dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mempertingkatkan penyelenggaraan infrastruktur.
“Pelbagai kerja baik pulih jalan, longkang dan sistem saliran dilaksanakan menggunakan peruntukan khas ADUN secara berfasa. Langkah mitigasi banjir turut diperhebat melalui pembersihan parit dan penaiktarafan sistem saliran di kawasan berisiko, di samping pemantauan berkala oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Dalam aspek kebajikan pula, beliau berkata, kerjasama strategik juga dijalinkan bersama Zakat MAINPP, Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, NGO dan badan korporat bagi memastikan bantuan disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.
Katanya, pendekatan itu dapat memastikan tiada golongan tersisih daripada menerima perhatian sewajarnya, terutama mereka yang berdepan tekanan ekonomi.
“Pelbagai program komuniti turut digerakkan, antaranya bengkel keusahawanan, kelas pembuatan kek dan roti, serta kursus kerjaya dan vessel untuk membantu penduduk menjana pendapatan.
“Segala inisiatif ini bertujuan menggalakkan komuniti Batu Maung memperkasa diri, seiring matlamat melahirkan masyarakat yang berdikari dan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 serta Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat, beliau turut memacu pelbagai inisiatif penting di peringkat negeri.
“Program pembangunan melalui Agenda Pembangunan Agama Islam (APAI 2030) merangkumi lima teras utama termasuk pendidikan, keluarga, anak muda, sosioekonomi serta dakwah dan tarbiah. Penstrukturan semula agensi Islam turut dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan dan mendepani cabaran semasa,” katanya.- UTUSAN










