PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan mengetuai Misi Pemerkasaan Eksport (EAM) ke Kemboja dari 25 hingga 27 November ini bagi memperkukuh penglibatan dagangan Malaysia dengan salah satu ekonomi yang paling pesat berkembang di ASEAN.
Misi berkenaan bertujuan memposisikan syarikat-syarikat Malaysia sebagai rakan niaga yang dipercayai dalam memenuhi permintaan Kemboja yang semakin meningkat terhadap barangan pengguna dan industri.
Menurut Matrade, program tersebut akan merangkumi sesi jaringan perniagaan dengan beberapa persatuan utama termasuk Dewan Perniagaan Malaysia di Kemboja (MBCC), Dewan Perniagaan Kemboja, Persekutuan Persatuan PKS di Kemboja (FASMEC) dan Persatuan Usahawan Muda Kemboja (YEAC).
“Peserta misi turut akan menyertai sesi padanan perniagaan yang diatur awal bersama bakal pengimport dan pengedar, selain taklimat pasaran mengenai peraturan perdagangan serta peluang baharu dalam sektor berpotensi tinggi.
“Misi itu membabitkan penyertaan pengeksport Malaysia dalam pelbagai segmen produk berpotensi besar seperti barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), makanan dan minuman, produk penjagaan diri, detergen, produk pertanian seperti baja serta produk berasaskan petroleum.
“Sektor-sektor ini dikenal pasti sebagai pemacu utama potensi eksport Malaysia dan selari dengan peningkatan permintaan Kemboja terhadap barangan pengguna dan industri berkualiti.
“Misi tersebut diadakan pada waktu strategik ketika ekonomi Kemboja terus berkembang pesat, sekali gus merangsang permintaan pengguna terhadap produk bernilai tambah,” katanya dalam kenyataan.
Dagangan Malaysia–Kemboja mencatat pertumbuhan kukuh dengan nilai sebanyak AS$848.8 juta bagi tempoh Januari hingga September 2025, meningkat 35.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan permintaan Kemboja terhadap makanan dan minuman terproses, produk penjagaan diri serta bekalan industri dari Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi potensi kerjasama perdagangan dua hala antara kedua-dua negara. – UTUSAN











