BERLIN: Pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, bakal menerima Anugerah Golden Bear iaitu penghormatan tertinggi yang diberikan sempena Festival Filem Berlin (Berlinale) edisi ke-76.
Pengiktirafan berprestij itu akan disampaikan pada majlis pembukaan Berlinale pada 12 Februari tahun hadapan, sebagai tanda penghargaan sumbangan luar biasanya dalam dunia perfileman antarabangsa.
Pengarah Festival Berlinale, Tricia Tuttle, berkata Michelle merupakan seorang seniman yang melangkaui batas geografi, bahasa dan sinematik.
“Aura, pilihan artistik yang berani serta mempunyai gaya tersendiri menjadikan beliau pelakon yang sering meninggalkan kesan mendalam khususnya kepada generasi pembikin filem dan peminat di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Terharu dengan pengiktirafan tersebut, anak jati Ipoh, Perak itu menyifatkan Berlin sebagai lokasi yang mempunyai nilai sentimental dalam perjalanan kariernya.
“Berlin sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Ia antara festival pertama yang menerima karya saya dengan begitu terbuka.
“Kembali ke sina selepas sekian lama, kali ini bagi menerima pengiktirafan atas perjalanan seni saya dalam dunia sinema, benar-benar bermakna,” katanya.
Michelle sebelum ini mencipta sejarah apabila menerima Anugerah Akademi (Oscar) bagi Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All at Once, sekali gus menjadikannya pelakon wanita Asia pertama memenangi kategori itu.
Untuk rekod, beliau pernah berkhidmat sebagai ahli Juri Antarabangsa Berlinale pada 1999. -UTUSAN










