Meriahnya program SULAM UiTM di Masjid An-Nur

Meriahnya program SULAM Pengurusan Hotel UiTM di Masjid An-Nur, Saujana Utama

Pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam yang menjayakan bersama Sarapan Perdana Subuh di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Adalah penting bagi masjid mengadakan program yang boleh menarik minat golongan belia mengimarahkan rumah Allah. Tidak kiralah ia berbentuk sukan, pendidikan atau pun program kemasyarakatan.

Inilah inisiatif yang dilakukan oleh Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam, Selangor, pagi ini..

Dalam program Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) dan Sarapan Perdana ini, ia memberi peluang kepada 68 pelajar fakulti berkenaan untuk mempraktikkan imlu teori di kampus dengan realiti masyarakat.

Program dimulakan dengan solat subuh berjemaah diikuti kuliah subuh oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Shah Alam, Dr. Mohd. Dasuqkhi Mohd Sirajuddin bertajuk ‘Viral Halal: Semak Sebelum Sebar’.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Industri), Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Prof. Dr. Chemah Tamby Chik berpuashati dengan projek tersebut yang disifatkannya berjaya memasyarakatkan pelajar.

Katanya, UiTM menekankan aspek bagaimana para pelajar dapat memberi manfaat kepada komuniti yang paling dekat dengan mereka.

CHEMAH TAMBY CHIK

“Bagi kita di kampus Puncak Alam. kawasan Saujana Utama dan Puncak Alam adalah komuniti terdekat dengan kita. Dan program hari ini berjaya merealisasikan matlamat kita.

“Di sini, pelajar dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari selain melaksanakan program penyediaan makanan yang melibatkan aspek keselamatan, halal dan kualiti makanan

“MAN juga sangat memberi kerjasama yang baik bagi menjayakan program kali ini,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Projek yang mahu dikenali sebagai Syazwan bersyukur kerana projek julung kali yang bertujuan menjalin hubungan pelajar dengan komuniti mencapai matlamatnya.

Katanya, kertas kerja mengadakan projek yang melibatkan pelajar tahun dua Sarjana Pengurusan Perkhidmatan Makanan dan pelajar sarjana muda Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan itu disediakan pada September lalu.

SYAZWAN

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan pihak MAN juga memberi sokongan yang baik kepada kami. Memang program ini mempunyai 40 peratus markah untuk kerja kursus tetapi kami seronok kerana dapat bersama-sama jemaah masjid menjayakannya dengan meriah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Program tersebut disertai oleh 68 pelajar dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Puncak Alam dan pelajar pascasiswazah kumpulan HM7122A yang mengambil kursus Pengurusan Halal Komprehensif.

DR. Abdul Halim Tamuri (tiga dari kanan) antara tetamu dalam program Sarapan Perdana Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor pagi ini.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr Abdul Halim Tamuri; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Ahmad Zamani Mansor dan Nazir MAN, Hamzah Mohd. Amin.

Antara menu yang menjadi tarikan kira-kira 300 jemaah ialah lontong kuah lodeh, nasi lemak ayam goreng berempah, lempeng dan ubi kayu rebus yang semuanya dimasak secara langsung di pekarangan masjid. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN