Menu rusa panggang tarikan buffet Ramadan

Menu rusa panggang tarikan bufet Ramadan

MOHD. Ridzwan (kiri) Pengurus Besar Hilton Kuala Lumpur, Linda Pecoraro dan Ketua Cef, Paul Mcloughlin pada Bufet Ramadan 2026 Hotel Hilton baru-baru ini. UTUSAN/HANIS BATRISYIA HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hidangan daging rusa rempah panggang menjadi tumpuan utama Bufet Ramadan 2026 Hotel Hilton, menawarkan cita rasa autentik warisan Timur yang disediakan dengan penuh ketelitian oleh pasukan kulinari hotel berkenaan.

Eksekutif Sous Cef, Mohd. Ridzwan Mohamed Rasit berkata, daging rusa berkenaan dipanggang selama enam jam bagi memastikan rempah ratus digunakan, menyerap sepenuhnya aroma serta rasa rempah dalam perapan istimewa yang digunakan.

Katanya, daging rusa yang rendah lemak menjadikan ia ideal untuk pelbagai olahan, sekali gus memberikan kelainan berbanding daging lain dari segi tekstur dan keaslian rasanya.

“Kami mahu tetamu merasai sendiri keunikan daging rusa, bukan sahaja daripada kelembutan teksturnya, tetapi juga daripada aroma rempah yang memikat,” katanya pada promosi Ramadan di restoran Vasco’s, baru-baru ini.

Bufet Ramadan 2026 Hilton Kuala Lumpur yang telah menjadi acara tahunan sejak 2015, sekali lagi mengetengahkan gabungan hidangan tradisional dan moden bagi meraikan bulan mulia dengan pengalaman berbuka yang lebih eksklusif.

Antara sajian istimewa ditampilkan termasuk otak-otak ikan jenahak bersama sos buah markisa, scallop dengan sos halia dan bawang putih, tulang rusuk lembu bersama sos strawberi, selain sup gearbox kambing dan beef shank premium Australia yang menjadi pilihan ramai.

Pengunjung turut disajikan pelbagai pilihan pemanis mulut seperti cucur durian Musang King, pulut nangka, kek pandan gula melaka dan kurma bersalut sos pistachio, yang melengkapkan pengalaman berbuka puasa.

Mohd. Ridzwan berkata, pihaknya turut memberi penekanan kepada amalan ‘zero waste’, memastikan setiap bahan digunakan seoptimum mungkin supaya hidangan bukan sahaja berkualiti dan segar, malah menyokong gaya hidup lestari.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan tetamu pulang dengan rasa puas dan gembira serta berkongsi semangat Ramadan yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN