MCMC diarah kenal pasti telco kenakan caj perkhidmatan perlindungan scam

MCMC diarah kenal pasti telco kenakan caj perkhidmatan perlindungan scam

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarah untuk mengenal pasti dan mendapatkan penjelasan daripada syarikat telekomunikasi (telco) yang dilaporkan mengenakan caj RM10 sebulan bagi perkhidmatan perlindungan scam atau penipuan.

Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penjelasan lanjut itu penting bagi meneliti kewajaran caj yang dikenakan oleh syarikat telco terbabit.

“Saya belum meneliti laporan terbabit tetapi saya akan minta supaya MCMC mengenal pasti syarikat perkhidmatan telekomunikasi berkenaan.

“Ini untuk mendapatkan penjelasan dan meneliti aspek ini, sama ada wajar ataupun tidak, kita nak tahu dulu apa yang dimaksudkan (dengan perkhidmatan serta caj yang dikenakan),” katanya menerusi sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan persatuan pengguna dan pakar komputer menyelar tindakan telco mengenakan caj RM10 sebulan untuk perkhidmatan perlindungan scam atau penipuan.

Mereka menyifatkan tindakan itu tidak wajar dan bercanggah prinsip tanggungjawab asas penyedia perkhidmatan itu terhadap keselamatan pengguna khidmat mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN