GEORGE TOWN : Selepas dilaporkan hilang hampir dua hari di lautan akibat terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang kelmarin, mayat seorang pemuda, Elmi Nur Zamani Aizat Azim, 25, akhirnya dijumpai dalam keadaan terapung kira-kira pukul 9.35 pagi tadi.
Difahamkan, ketika dijumpai oleh anggota polis marin yang menjalankan kerja-kerja menyelamat bersama bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), mangsa masih dalam keadaan lengkap berpakaian iaitu berseluar jeans dan berkemeja-T berwarna putih.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, mayat pemuda itu ditemukan berhampiran dengan Jeti Pelayaran Pulau Pinang di Pengkalan Weld di sini iaitu kira-kira 8 kilometer (km) dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian bertindak menaikkan mayat mangsa ke atas bot sebelum dibawa ke jeti Jabatan Laut, Batu Uban. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Kisah pemuda itu menjadi tular di media sosial sebelum ini apabila isterinya, Nurul Natasha Amyra Ishak, 19, dikatakan telah memuat naik satu hantaran di laman TikTok mengenai kehilangan suaminya itu semasa dia sedang sarat mengandung anak ketiga.
Wanita tersebut juga sempat menitip pesanan kepada orang ramai agar tidak meninggalkan komen negatif berhubung kejadian tersebut, sebaliknya, mendoakan perkara yang baik-baik sahaja terhadap suaminya.-UTUSAN










