Malaysia seri 2-2 dengan New Zealand - Utusan Malaysia

Malaysia seri 2-2 dengan New Zealand

PEMAIN Malaysia, Rozemi Aiman cuba melepasi halangan pemain New Zealand pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Malaysia dinafikan kemenangan hasil jaringan dua minit terakhir perlawanan apabila seri 2-2 dengan New Zealand pada aksi pembukaan kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-31 2025 di sini hari ini.

Ketika pasukan negara sudah berada diambang kemenangan, anak buah Sarjit Singh terpaksa berputih mata apabila Dylan Thomas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-58 dalam perlawanan di Stadium Azlan Shah di sini.

Sebelum itu, pasukan tuan rumah beraksi cemerlang mendahului 2-0 menerusi jaringan Silverius Shello pada minit ke-10, disusuli jaringan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit ke-22.

New Zealand memperoleh penalti strok pada minit ke-26 dan ketua pasukan, Sam Lane tidak membuat kesilapan apabila kuisannya menumpaskan penjaga gawang pasukan negara, Hafizuddin Othman.

Malaysia meneruskan aksi cemerlang selepas rehat namun Dylan memanfaatkan kesilapan benteng tuan rumah untuk menjaringkan gol penyamaan New Zealand, yang merupakan juara kejohanan tahun 2012 dan 2015.

Jurulatih New Zealand, Greg Nicole berpuas hati dengan kesungguhan anak buahnya yang tidak mudah menyerah walaupun ketinggalan.

“Saya gembira dengan persembahan para pemain,” katanya.

Ketua Jurulatih negara, Sarjit Singh walaupun sedikit hampa dengan keputusan perlawanan, menyifatkan ia keputusan yang baik.

“Satu mata tetap permulaan yang baik daripada tiada mata langsung,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN