Malaysia mampu jadi hab pemikir serantau

Malaysia mampu jadi hab pemikir serantau

AHMAD Zahid Hamidi merasmikan Festival Idea Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mampu menjadi hab pemikir serantau khususnya di peringkat ASEAN berdasarkan kedudukannya yang strategik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia mempunyai nilai, kepelbagaian dan kesederhanaan bagi memacu kemajuan ASEAN ke arah masa depan lebih berilmu dan berdaya saing.

Beliau berkata, kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah ASEAN menjadikan negara ini berpotensi menjadi pusat pertembungan tamadun, sekali gus meneraju gelombang idea baharu di rantau ini.

“Malaysia dan ASEAN mesti bangkit sebagai hab pemikir yang berakar pada nilai, kaya dengan kepelbagaian serta yakin dengan prinsip kesederhanaan.

“Kita berada di tengah-tengah ASEAN iaitu titik pertemuan tamadun Timur dan Barat. Mengapa Malaysia tidak boleh memimpin melalui idea?,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Festival of Ideas Putrajaya 2025 (Putrajaya FOI) di sini, hari ini.

Katanya, beliau melihat Putrajaya FOI mampu berkembang menjadi satu gerakan yang menyatukan institusi pendidikan dan komuniti bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat ASEAN.

Ahmad Zahid berkata, FOI Putrajaya juga mampu menjadi pencetus gelombang idea nasional yang bukan sahaja terbatas di dewan, pentas forum dan wacana elit tetapi mengalir terus kepada rakyat.

“FOI Putrajaya tidak boleh berhenti sebagai acara tahunan sahaja tetapi mesti menjadi gerakan nasional di mana kreativiti, ilmu dan inovasi mengalir secara berterusan ke seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN