PETALING JAYA: Penganjuran Malam Gala Tari 25 anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berjaya menghimpunkan 600 peserta komuniti tari pelbagai negara termasuk dari negara Asia Tenggara.
Akademi itu dalam kenyataan berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 1994, acara itu kekal sebagai antara platform utama pertukaran seni rantau ini.
Ia sekali gus memperkukuh peranan Aswara sebagai institusi terunggul dalam seni tari dan seni tradisional negara.
“Ia juga menjadi simbol sokongan berterusan kementerian terhadap pemeliharaan budaya, inovasi seni dan usaha Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai destinasi budaya utama di ASEAN.
“Selepas beberapa tahun tidak dianjurkan, edisi Tari 25 kembali dengan sambutan luar biasa daripada peminat tari, sarjana dan penggiat budaya.
“Mereka melihat kebangkitan festival ini sebagai ruang baharu untuk kolaborasi kreatif serta diplomasi budaya serantau dan antarabangsa,” katanya.
Kata kenyataan itu, penganjuran Malam Gala Tari 25 juga berjaya memperkukuh jalinan budaya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti. – UTUSAN










