BUKIT MERTAJAM : Gara-gara dipercayai menghidangkan makanan yang tidak menepati selera pelanggannya, seorang tukang masak warga asing maut ditikam dalam satu pertengkaran di sebuah restoran di Lorong Bukit Juru di sini, malam tadi.
Mangsa, seorang wanita warga Myanmar berusia dalam lingkungan 40-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah manakala suaminya yang juga warga Myanmar mengalami kecederaan pada anggota badan susulan pertengkaran itu.
Difahamkan, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9 malam itu bermula apabila suspek yang juga rakan senegara mereka bergaduh dengan pasangan suami isteri tersebut sebelum dihalau keluar dari premis berkenaan.
Tidak berpuas hati dengan tindakan terbabit, suspek kembali semula ke restoran itu bersama abangnya dengan membawa sebilah pisau sebelum bertindak menikam mangsa.
Bagaimanapun, tindakan pantas polis berjaya memberkas dua beradik itu bersama seorang lagi suspek tidak lama kemudian.
Dalam pada itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-UTUSAN










