KUALA LUMPUR: Pelakon, Hisyam Hamid, menganggap komen warga maya yang mahu mencuba nasib mencuri hati anak sulungnya, Nurish Syameliah, sebagai usikan nakal sahaja.
Maklum anaknya semakin menjadi tumpuan, Hisyam atau Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 40, memilih untuk mengurangkan perkongsian mengenai dua orang anaknya lebih-lebih lagi mereka semakin meningkat remaja.
“Awalnya memang komen sebegitu beri kesan kepada saya, tapi lama kelamaan saya mula terima ia lumrah kehidupan selebriti. Orang akan mula perasan keluarga kita juga.
“Sebab itu sekarang ini saya semakin kurang berkongsi tentang anak-anak sebab mereka sudah makin besar. Cuma kadang-kadang saya mahu juga kongsi tentang keluarga di media sosial.
“Bila timbul komen begitu, saya anggap sebagai gurauan saja. Kau orang jangan nak perasan ya, jangan nak melampau sangat,” katanya berseloroh ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon Andai Tiada Dia juga meletakkan syarat kepada puetri sulungnya agar menamatkan pengajian sebelum mahu memikirkan soal percintaan.
“Anak saya itu baru diploma, selepas ini sambung peringkat ijazah pula kemudian sarjana, jauh lagi perjalanan.
“Tamatkan pengajian dahulu, itulah syarat yang saya letakkan dekat anak saya.
”Kalau mahu kahwin selesaikan dulu sekolah. Bila sudah kerja ada duit terpulanglah kepada diri sendiri mahu buat apa,” ceritanya.
Terdahulu, Hisyam Hamid memuat naik sebuah video memaparkan anaknya, Nurish Syameliah, memberikan hadiah sempena ulang tahun kelahirannya.
Mengintai ruangan komen, ramai yang mencuba nasib ingin menjadi menantu kepada pelakon itu di samping memuji hubungan akrab anak-beranak itu.
“Assalamualaikum ayah, maaf lambat baru habis pam tayar kapal terbang,” tulis satu komen.
“Salam nak jadi calon menantu, saya boleh cuci masjid,” tulis komen yang lain.
“Subahanallah cantiknya anak,” komen seorang peminat. -UTUSAN










