ALOR SETAR: Semua pihak diminta perlu melihat isu cukai taksiran hartanah bandar raya ini secara rasional, bukannya emosional berhubung permohonan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menilai semula perkara itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan MBAS itu berdasarkan keperluan semasa untuk membiayai kos penyelenggaraan yang semakin meningkat.
“Jangan menangguk di air keruh. Siapa yang jadi kerajaan yang baik dia perlu membuat pertimbangan wajar. Tak ada siapa pun yang suka naikkan cukai dan bayaran.
“Saya sendiri pun ada rumah dalam MBAS ini, saya pun kena. Takkan kita nak suka-suka suruh bayar lebih tentulah kita nak bayar kurang tetapi ada keperluan di pihak PBT untuk berbuat demikian seperti diperuntukkan oleh undang-undang, bukan buat suka-suka. Kalau ada pihak yang tidak suka PBT naik cukai pergi pinda undang-undang itu di Parlimen, Akta 171,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi pembentangan Bajet Kedah 2026 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut kata Muhammad Sanusi, kerajaan negeri bagaimanapun akan memastikan kenaikan cukai tersebut tidak akan membebankan penduduk apabila ia dilaksanakan kelak.
Menjelaskan lanjut katanya, permohonan MBAS itu juga berdasarkan keperluan semasanya apabila menanggung kos operasi yang tinggi setiap bulan.
“Setiap bulan MBAS perlu bayar RM2 juta kepada E-Idaman laksanakan kerja kutip sampah dan sebagainya. RM100,000 lagi bayar tunggakan. Sebanyak 60 peratus daripada bayaran ini guna duit cukai taksiran.
“Selain kos kutip sampah, banyak lagi kos MBAS perlu tanggung termasuk bil elektrik lampu jalan, menyelenggara jalan dan taman-taman. Cukai pintu pun bukan semua orang bayar. Di kawasan MBAS sahaja ada tunggakan cukai pintu RM24 juta.
“Dalam hubungan rakyat dengan kerajaan, kita kena faham situasi menang-menang. Kerajaan dari rakyat untuk rakyat. Rakyat minta apa, kerajaan akan berusaha penuhi. Tetapi kalau kerajaan tak cukup duit, nak penuhi macam mana?” katanya.-UTUSAN










