CYBERJAYA: Kelewatan pembinaan bulatan oleh pemaju menjadi punca utama simpang Rimba Permai di sini berubah menjadi ‘simpang maut’, sekali gus mengancam keselamatan ribuan pengguna jalan setiap hari.
Timbalan Menteri Perumahandan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pelan awal menetapkan bahawa kos pembinaan bulatan ditanggung oleh pemaju, namun kelewatan tersebut menyebabkan penyediaan kemudahan kawal selia trafik tergendala.
Ahli Parlimen Sepang itu berkata, bagi mengurangkan risiko kemalangan, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) diarah memasang lampu isyarat di kawasan berkenaan.
“Saya sudah arahkan lampu isyarat dipasang dan kini dalam proses perolehan menerusi MPSepang yang disasarkan siap sebelum akhir tahun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan kebimbangan lebih 2,000 penduduk dari MasRecca apabila hampir setiap minggu berlaku kemalangan di Persiaran Bestari-Persiaran Rimba Permai yang tidak dilengkapi lampu isyarat, menjadikan kawasan itu laluan berisiko tinggi.
Persimpangan tersebut merupakan laluan utama ribuan penduduk terutama dari MasRecca, Sejati Lakeside dan Setia Safiro, terutama pada waktu puncak.
MPSepang ketika dihubungi memaklumkan, pemasangan lampu isyarat dijangka siap Januari depan, sekali gus menyelesaikan isu keselamatan yang menghantui penduduk sejak bertahun lamanya.
Sementara kerja pemasangan berjalan, beberapa langkah sementara dilaksanakan termasuk bonggol, jalur bergetar, petak kuning serta petugas statik yang memantau aliran trafik bersama kamera kawalan.
Sebarang pelanggaran trafik akan terus dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut MPSepang, masalah itu berpunca daripada perancangan asal membina bulatan melibatkan kos besar yang perlu dikongsi beberapa pemaju.
Selain kelewatan tersebut, sikap pemandu yang memandu laju, mengambil selekoh berbahaya dan membuat pusingan-U di kawasan larangan turut menjadi penyumbang utama insiden kemalangan. – UTUSAN










