SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu terjatuh ke bawah tebing berketinggian 200 meter dalam kejadian di Kilometer 267.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini pagi tadi.
Komander Operasi, PBK I (KUP) Mohamed Gadaffi Abd. Manaf berkata, mangsa Lee Quan Yao, 22, beralamat di Bachang, Melaka meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut beliau, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.58 pagi sebelum jentera tiba di lokasi pada 10.20 pagi.
“Kenderaan yang dipandu oleh lelaki tersebut telah melanggar besi penghadang sebelum terjatuh ke bawah tebing berkedalaman kira-kira 200 meter.
“Pasukan penyelamat mendapati mangsa tersepit di dalam kenderaan dan dikeluarkan pasukan menggunakan peralatan khas, bucket stretcher serta teknik hauling dan lowering. Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10.30 pagi” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan, Ahmad Khomeini Kamarudzaman berkata, lokasi kejadian sukar diakses dan menyukarkan kerja-kerja menyelamat dilakukan.
“Hasil tindakan pantas dan kecekapan anggota, pasukan kami berjaya mengeluarkan mangsa.
“Orang ramai dinasihatkan memandu dengan berhati-hati, terutamanya ketika cuaca buruk atau jalan licin, bagi mengelakkan kemalangan,” katanya. – UTUSAN










