PETALING JAYA: Polis mengesahkan kejadian seorang lelaki maut dalam insiden berbalas tembakan di tepi jalan berhampiran Batu 8, Jalan Banting–Dengkil, Selangor, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 8.10 malam berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) menjalankan operasi membanteras jenayah samun di kawasan Banting, Dengkil dan Sepang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pasukan operasi terserempak dengan sebuah Perodua Myvi berwarna perak dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Cubaan untuk menahan kenderaan tersebut berakhir apabila suspek melepaskan tembakan dari dalam kereta ke arah anggota polis.
“Polis kemudian membalas tembakan sehingga tiada ancaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Beliau berkata, suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.
Jelas beliau, pemeriksaan dalam kenderaan suspek turut menemukan sepucuk pistol jenis Colt 45, tiga butir peluru Kynoch kaliber 45 serta tujuh paket lut sinar berisi serbuk kristal disyaki dadah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan mendapati tiada sebarang pengenalan diri pada suspek yang dipercayai warga tempatan.
“PDRM memaklumkan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – UTUSAN










