PUTRAJAYA: Lebih RM159 juta pulangan pelaburan (ROI) diraih menerusi pemeteraian memorandum perjanjian (MoA), memorandum persefahaman (MoU) dan surat hasrat (LOI) antara pihak universiti tempatan dan industri.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari memaklumkan, nilai ROI itu direkodkan sepanjang dua hari penganjuran Putrajaya FOI yang bermula semalam meliputi RM137.7 juta ROI pada hari pertama manakala, RM21.2 juta pada hari ini.
“Keseluruhan ROI itu dimeterai antara pihak industri dengan 68 buah universiti awam (UA), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
“Setakat ini, penyertaan MoA terbanyak membabitkan Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) dengan sembilan MoA iaitu RM1.9 juta, manakala Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) pula dengan lima MoA dan satu MoU membabitkan nilai ROI sebanyak RM2.9 juta,” katanya.
Selain itu, katanya, penyertaan dengan ROI tertinggi pula diraih oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UPMSA) dengan RM117.5 juta manakala, Universiti Multimedia (MMU) dengan RM5 juta.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika ditemui berkata, pemeteraian MoU, MoA dan LoI pada FOI ini membuktikan komitmen berterusan KPT memperkukuh jaringan kerjasama strategik, sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Menurutnya, kebanyakan kerjasama ini memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan yang berimpak tinggi, khususnya dalam sektor kesihatan, pertanian dan pelbagai bidang lain yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
“Selain itu, terdapat juga inisiatif berbentuk perkongsian perkhidmatan dengan pihak industri bagi tujuan pelaksanaan latihan industri yang bakal memberi peluang kepada pelajar menimba pengalaman sebenar di syarikat-syarikat berkaitan.
“Usaha sebegini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara universiti dan industri, malah memastikan graduan kita lebih bersedia menghadapi keperluan pasaran kerja masa kini,” katanya. – UTUSAN










